Salam kepada semua penghuni anjung kristal yang dikasihi,
Untuk renungan minggu ini, saya terpanggil utk berkongsi pengalaman menyaksikan pemergian org yang tersayang di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, dalam suasana yang begitu tenang dan syahdu.. penuh kesyukuran kehadrat Allah.. mari kita hayati sedikit nukilan dari seorang adik dan dari seorang isteri kepada seorang hamba Allah yang "di anugerahkan" penyakit kanser.. yang kembali ke rahmatullah pada 18 Januari yg lepas... Semuga kita mendapat iktibar dan semuga kita juga berpeluang pulang kerahmatullah dgn "tenang" dan "bersedia" seperti ini.. amin.
nota: Terima Kasih kpd "Kak Ani" yang sudi berkongsi... Wasalam
Assalamualaikum wrbt
Tanggal 18 Januari 2009 jam 11.15 malam perginya seorang mujahid, daii bertemu kasihnya Allah Ar Rahman dan Ar Rahim. Setiap saat Allah menjemput kembali hamba-hambaNya dan tibalah pada saat itu Allah menjemput abang ku, mentor dakwah ku bertemu dengan Nya
Kepada ku, Abang E bukan sebarangan abang, beliau adalah mentor yang mendidikku dan seluruh keluarga kepada Islam AdDin. Beliaulah yang memberi Quran Terjemahan pertama dan beberapa buku (Fundamental of Islam-Maudoodi dan sebuah buku karangan Maryam Jameelah) yang menyentuh jiwa ku dan yang mempersoalkan Islam ku. Beliau jugalah yang memperkenalku kepada dakwah dan jamaah. Kegigihan dakwah beliau di Sek Men Teknik, SDAR, MRSM ku perhatikan dan ku sertai bersama. Di ITM aku lakukan perkara yang sama dengan bimbingannya bersama ikhwah lain.
Peninggalan beliau yang berharga ialah anak-anak murid yang terlatih dengan kefahaman dan praktik Islam. Asset inilah yang menguatkan semangat juang beliau hinggalah ke saat akhir. Menifestasinya ialah ratusan kehadiran semasa jenazah beliau dimandi, kapan, solat dan disemadikan. Mereka telah bersama beliau walaupun dipancari matahari yang panas terik.
Yang paling mengharukan ialah kegigihan seorang daripada bekas murid beliau yang tidak mahu melepaskan cangkul semasa memasukkan tanah ke dalam liang jenazah. Hanya selepas memberitahu bahawa adik beliau dan menantu beliau juga ingin menyumbang khidmat terakhir ini, barulah dilepaskan cangkul tersebut.
Di bawah ini, Kak Ani, isteri beliau ada menulis secara detail keadaan beliau ketika di hospital dan saat akhir beliau.
Marilah kita doakan semoga Allah menerima segala kebaikan beliau walaupun sebesar zarrahpun dan Allah mengampunkan segala kekurangan walaupun sebesar zarrahpun. Amin...Ya Rabbal Alamin
Dr Mohd Faudzi Mohd Yusoff
Jambangan Terima Kasih dari Kak Ani Basri.
Genap seminggu pemergian allahyarham, terasa terpanggil untuk kak ani menulis setelah membaca pelbagai cerita dalam kenangan sahabat semua bersama arwah. Kak Ani ucapkan ribuan terima kasih yang tak terhingga pada semua nukilan mutiara kenangan abadi bersama arwah yang dipaparkan di ruangan ini. Pada sesiapa yang ingin berkongsi kisah bersama arwah, sila hubungi kak ani, Nadzirah. Kami akan mengumpul kisah dan kenangan untuk dibukukan. Arwah berpesan agar kak ani menulis sebagai pasangan kepada seorang yang dianugerahkan kanser.
Ramai yang tak sempat kak ani bersalaman dengan tetamu-tetamu yang hadir pada hari bersejarah 18/1/09. Mereka masih merisik khabar. Maka secara ringkas kak ani ceritakan:
Sepanjang 10 hari (sejak 9/1/09) di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, arwah tidak membenarkan kami menghebahkan kepada sahabat & saudara-mara, semata-mata kerana tak ingin menyusahkan orang menziarahi beliau. Hatta Ustaz Rahim naqib beliau sendiri tidak menziarahi beliau, kerana menghormati kehendaknya. Setiap kali ustaz call bertanyakan khabar, arwah akan berkata "Tak perlu datang, doakan aja di rumah,"
Selepas beberapa hari terdetik di hati nak SMS Dr Suriya (Kak Su) supaya jenguk arwah, kerana nampak kelainan padanya. Alhamdulillah, dengan pertolongan Allah SWT melalui Kak Su dapat merungkai simpulan di sudut mindanya. Ketenangan dapat dinikmati arwah dengan nyenyaknya tidur beliau di malam itu tanpa pil tidur. Terima kasih kak su, teknik dan kemahiranmu amat bermanfaat sekali, hanya jauhari yang mengenali maknikam.
Lantas kak su sebagai jambatan penghubung Jemaah….dapat kami rasai dan hayati betapa manisnya nikmat berjemaah. Tak ada kata nak dituturkan, tak tergambar nak dilukis, tak ternukil nak diukir, tak tertulis seindah bahasa…Hanya Allah SWT sahajalah sebaik-baik balasan pada ikhwah tertentu, sahabat dan akhawat yang telah luhur hati membantu memudah dan mempercepatkan perjalanan arwah menemui Penciptanya yang Maha Agung.
Amat terharu melihat begitu ramai yang hadir, mengiringi hari terakhir sebuah perjalanan menuju ke Alam Baru. Dari wad 7A ke kereta jenazah terus ke rumah dengan pertolongan Pengarah Hospital, dari yang berjalan ke yang berkerusi roda, dari murid darjah 6 ke murid PhD, dari satu jamaah ke dua jamaah solat jenazah, semoga doa-doa para jemaah diangkat malaikat.
Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu dengan penuh redha….
SEUTAS KENANGAN DI SAAT AKHIR
Hospital Seremban: 1/3 malam…Sebelum Subuh Ahad 18/1/09, arwah call anak-anak di rumah dan adik bongsu beliau, Razali agar datang mendendangkan surah Yasin padanya. Beliau kelihatan begitu teruja untuk pergi menyahut panggilan Ilahi, semalaman itu arwah tidak tidur, asyik menulis and membaca doa-doa dan ayat suci duduk di kerusi bermejakan katil. Beberapa kali kak ani tersedar arwah masih tak tidur.
Bila ditanya kenapa tak tidur? "Tak boleh tidur, nak baca banyak-banyak nanti rugi, walau seminit pun tak nak lena" katanya. Ayat-ayat yang ditinggalkan kak su pada siangnya dibaca berulang-ulang kali.
Hari kesiangan anak-anak semua datang menziarahi dan menjaga arwah di hospital. Sepanjang hari Ahad 18/1, arwah terus-terusan membaca, mendoa, sambil duduk di kerusi. Sepetang ada yang ziarah, ibu, adik-adik arwah baru tiba dari Alor Star dan Kajang. Berborak seperti biasa.
Waktu Maghrib: Hati ini terlalu sebak, sedih, kasihan, kasih, ihsan melihatkan arwah masih di kerusi dengan facemask oksigennya. Terus ke bilik air, meluahkan sebak sepuas-puasnya. Tidak pernah menangis di hadapan beliau sepanjang sakit, bimbang kalau semangatnya menurun.
Setelah berwudhuk, mempelawa arwah solat bersama, "Solatlah dulu, nanti nak buat dalam Isya'", katanya…
Selesai solat Maghrib, kak ani solat Hajat 2 rakaat agar diringankan tanggungan pernafasan arwah..selepas itu, kak ani berwudukkan arwah, beliau masih mampu mengangkat tangan dan kaki.
Waktu Isya': Nafas mulai laju, masih bertanya sambil tunjuk di jari tangan, "Ada tanda-tanda tak nak mati?" Memang itulah soalan beliau saban hari sejak dari rumah.
Dalam jam 10 malam: "Kenapa tangan dan kaki tak terasa apa-apa?" Tanyanya sambil menghulurkan tangan dan kaki ke arah kak ani. Memang kakinya sangat sejuk, kaki kiri dah tunduk, kaki kanan masih tegak. "Siapa boleh tolong, panggil doctor on-call" kataya. Kak ani bisikkan di telinganya, "Hanya Allah boleh tolong, ingatlah Allah banyak-banyak, Lailahaillallah, " sambil beri arwah minum air zam-zam.
Dalam 10.30 malam doctor tiba, sejurus itu anak sulung, Naufal tiba, doctor ajak kami ke luar bilik berbincang. Pertolongan terakhir, untuk masukkan tiub bagi membantu pernafasan. Kami masuk semula ke bilik untuk meminta persetujuan arwah. Beliau menggelengkan kepala. Jika tidak dengan bantuan pernafasan, keadaan ini akan berlarutan dalam masa selama maksima 12 jam, kata doctor sambil berlalu.
Kami cepat-cepat masuk, dan terus kak ani bisikkan di telinganya, "Tahniah bah! Berbahagialah, babah akan jadi tetamu Allah sekejap lagi. Tiada yang lebih bahagia dari menjadi tetamu Allah. Sabarlah! sedikit masa lagi.. Rasulullah pun sakit juga ketika dalam keadaan begini. Ingatlah Allah, "Lailahaillallah, Allahu, Allahu" berulang-ulang kali di baca kepadanya, sehingga beliau angkat tangan buat isyarat: jangan bising, dia sedang baca dan ingat…
20 minit kemudian semua anak-anak dan menantu tiba, sempat arwah lihat seorang demi seorang dan angkat tangan bersalam. Dalam 10 minit kemudian, kami minta beliau naik ke katil dibantu anak dan menantu arwah terus berdiri dan naik ke katil dibaringkan. Sejurus itu juga, beliau bangkit duduk di katil.
Nafas semakin pantas, beliau membuka face mask yang dipakainya. Anak-anak mengelilinginya sambil menyebut Lailahaillallah. Sambil duduk itu, arwah tersedu kuat, kami baringkan beliau di bantal. Ibu dan adik-adik arwah tiba, lantas dibisikkan lagi Lailahaillallah. Hembusan nafas terakhir berlalu pada 11.15 pm 18/1/09.
Begitu pantas dan mudah beliau pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Untuk kita yang masih ada ini terus meneruskan perjuangan mardhatillah, demi syurga Mu Ya Allah…
Demikian Allahyarham bersemadi dengan abadi diiringi doa seorang ibu yang masih ada, disambut anakanda puteri Fatimah Husna yang telah mendahului beliau 17 tahun yang lalu. Alangkah beruntungnya sebuah jasad yang sudah berpisah dari roh nya dikenali di dunia sebagai Cikgu Basri. Mudah-mudahan syurgalah tempatmu...